Polyglot Gathering 2024

Terjemahan ke bahasa Melayu sudah 91% lengkap. Semua maklumat terkini boleh didapati dalam bahasa Inggeris serta .
Dalam talian
29 Februari hingga 3 Mac 2024
Prague, Republik Czech
15 Mei hingga 19 Mei 2024

Hai! Pernah dengar tak tentang Polyglot Gathering?

Polyglot Gathering ialah acara peringkat antarabangsa yang terbesar bagi para tuturencam dan pencinta bahasa yang dianjurkan pada akhir bulan Mei setiap tahun. Acara yang hebat ini penuh dengan ceramah dan pembentangan yang menarik, aktiviti kebudayaan dan program sosial yang menghiburkan. Nak tahu apa yang paling menarik? Semuanya berkaitan dengan bahasa!

Semasa acara ini berlangsung, para peserta berkongsi cinta dan menunjukkan semangat mereka untuk budaya dan bahasa, berkongsi nasihat dan pengalaman, dan yang paling penting mereka menggunakan banyak bahasa agar mereka dapat berbincang, mendengar, belajar dan bergaul antara satu sama lain. Para pelajar, guru, peminat bahasa, pemula, profesional, saintis, pendidik, Polyglot Gathering ada di sini untuk kita semua! Anda dah bersedia?

Adakah anda bersedia untuk dua Polyglot Gathering pada tahun 2024?

Pada tahun ini kami telah menyediakan dua acara untuk anda:

Surat berita

Jika anda ingin kami beritahu anda sebaik sahaja pendaftaran untuk Polyglot Gathering 2024 dibuka, isikan alamat emel anda!

Apa kata para peserta selepas edisi-edisi yang sebelum ini?

Berapa banyak bahasa yang perlu saya tahu untuk saya turut serta?

Bahasa ibunda! Itu sahaja.

Tiada syarat untuk bertutur banyak bahasa. Apa yang penting ialah pendekatan anda: jika anda suka belajar bahasa dan anda ingin bertemu orang yang sehaluan dengan anda yang juga cintakan bahasa, Polyglot Gathering merupakan tempat yang sesuai untuk anda!

Kenapa saya perlu hadir?

Bertemu kawan baru

Jika anda fikir belajar bahasa merupakan kegiatan senggang yang menarik dan anda sedang belajar bahasa baru pada masa lapang, di mana lagi anda akan jumpa lebih daripada 500 orang dengan minat yang sama? ? Inilah tempat yang paling menarik untuk buat kawan baru yang sehaluan.

Bertemu para profesional

Jika anda seorang profesional bahasa, guru, jurubahasa atau penterjemah, seterusnya rangkaian proaktif dan komunikasi strategik dengan matlamat yang jelas untuk memanfaatkan anjakan paradigma dalam pembelajaran bahasa dan usaha untuk berfikir di luar kotak tanpa perlu bersusah payah, maka menghadiri Polyglot Gathering boleh membantu anda untuk pergi lebih jauh dan membawa kepada situasi menang-menang. Dan jika anda datang ke sini selepas anda mencari kata-kata kunci ini, kami faham anda dan ingin berbicara dengan anda di laman ini!

Prague
(Sumber: Wikimedia Commons)

Melawat wilayah utama Republik Czech

Republik Czech merupakan sebuah negara yang perlu berada dalam radar pengembaraan anda. Permata Eropah Tengah ini menawarkan pelbagai tarikan dan pengalaman yang menarik, termasuklah kota-kota bersejarah yang menakjubkan, kampung-kampung yang cantik dan pelbagai keindahan alami. Ada sesuatu tarikan untuk sesiapa sahaja yang berada di sini, maka bercutilah dengan lebih lama dan terokailah sudut-sudut Republik Czech yang unik dan menawan!

Semak bahasa Czech anda

Menerokai bahasa Czech di Prague merupakan suatu pengalaman yang bernilai. Mungkin menguasai frasa strč prst skrz krk bukan suatu keperluan, bahkan perkataan yang digunakan sehari-hari seperti čtvrtek (Khamis) dan zmrzlina (aiskrim) sahaja sudah agak mencabar! Belajar bahasa Czech membuka pintu kepada interaksi yang tulen, wawasan budaya tempatan serta hubungan yang lebih mendalam dengan atmosfera Prague yang penuh bertenaga.

Peluang mengembara

Peluang mengembara di sekitar Eropah Tengah dan Timur: Jerman, Poland, Slovakia dan Austria berada di dalam Kawasan Schengen. Tiada kos tambahan untuk perayauan telefon dan data, oleh itu ia memudahkan pengembaraan anda.

Apa yang orang buat semasa Polyglot Gathering?

menghadiri ceramah-ceramah dengan tips belajar bahasa yang praktikal dan banyak topik menarik berkaitan bahasa (kebanyakannya dalam bahasa Inggeris tetapi ada juga dalam bahasa lain) serta mencadangkan ceramah mereka sendiri
berkongsi tips, pandangan dan pemikiran mereka ketika sesi syarahan Kilat (syarahan spontan yang pendek)
melawat bengkel amali tentang bahasa yang kurang diketahui serta lain-lain kemahiran belajar bahasa
berbual dengan orang lain dalam mana-mana bahasa yang mereka kongsi bersama (setiap orang mempunyai tanda nama dengan semua bahasa yang mereka ingin bertutur dalamnya)
lepak di tempat perjumpaan yang selesa di sela-sela ceramah (termasuk kawasan nir-Inggeris, kawasan Permainan Berpapan, kawasan mengopi (dengan kopi percuma!) atau kawasan Penaja
menikmati konsert berbilang bahasa, mengambil bahagian secara aktif pada malam kebudayaan
melawat bandar dan kawasan sekitar, menghabiskan masa di kedai-kedai buku tempatan dan merasai makanan serantau di pub dan restoran-restoran
berkongsi buku bahasa lama dan makanan kudapan/minuman segar dari negara mereka

Polyglot Gathering di dalam gambar

Siapakah penganjur acara ini?

Judith Meyer, Chuck Smith dan Martin Sawitzki ialah para pengasas serta penganjur acara ini bagi tiga edisi pertama pada tahun 2014-2016. Setelah itu, Polyglot Gathering telah berpindah dari Berlin, Jerman ke Bratislava, Slovakia dan sejak daripada itu acara ini telah dianjurkan oleh sebuah pertubuhan tidak berasaskan keuntungan, Education@Internet (E@I), dengan Peter Baláž sebagai penganjur utama, serta satu pasukan khas pertubuhan ini yang terdiri daripada para tuturencam dan lain-lain penganjur.

Education@Internet (E@I) merupakan sebuah pasukan antarabangsa yang mengendalikan projek-projek secara dalam talian yang aktif buat kali pertama pada tahun 1999. Menggunakan kepakaran pasukan, E@I telah ditubuhkan secara sah pada tahun 2005 sebagai sebuah pertubuhan belia bukan kerajaan yang neutral dari sudut politik.

Visi E@I ialah dunia yang harmoni dan aman, di mana semua warganya dapat berkomunikasi di seantero dunia dengan mudah dan pantas.

Aktiviti-aktiviti pertubuhan ini telah dijalankan seiring dengan visi ini, serta dibantu oleh sekumpulan sukarelawan antarabangsa. Aktiviti-aktiviti ini termasuk menganjurkan dan menyokong projek-projek yang memupuk kepentingan dan kegunaan komunikasi antarabangsa tanpa halangan.

Jika anda menghargai usaha pertubuhan ini berkaitan Polyglot Gathering dan anda ingin menyumbang bagi merealisasikan aktiviti-aktiviti pertubuhan ini, anda dialu-alukan untuk menyumbang dari sudut kewangan bagi memastikan kemapanan projek pertubuhan ini.